Tuesday, 20 December 2016


PENGENALAN

Maksud khurafat menurut Kamus Bahasa Arab ialah cerita-cerita yang mempersonakan yang dicampuradukkan dengan perkara dusta (al Mujam al Wasit). Manakala menurut Kamus Dewan ialah kepercayaan karut yang diada-adakan mengikut perbuatan-perbuatan dan kejadian alam yang berlaku. Pengertian khurafat dari segi Islam ialah semua cerita sama ada rekaan, khayalan, ajaran, pantang larang, adat istiadat, ramalan, pemujaan atau kepercayaan yang menyimpang daripada ajaran Islam. Berdasarkan takrif di atas, khurafat merangkumi cerita atau perbuatan yang direka dan bersifat karut serta dusta.

Secara mendalam lagi, amalan khurafat melibatkan perbuatan, ungkapan kata, cerita, benda seperti batu, kayu atau tanah, prinsip atau fahaman yang dipercayai dengan yakin boleh mendatangkan manfaat ataupun mudarat kepada seseorang. Padahal semua itu merupakan sesuatu yang tidak sesekali terdapat dalam sumber dan suruhan agama Islam. Dalam masa yang sama ia juga bertentangan dengan logik akal kerana ia merupakan sesuatu yang batil dan tidak langsung mengandungi sebarang unsur kebenaran.

Dari Abu Hurairah r.a. Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud, ''Tidak ada jangkitan (yang berlaku tanpa izin Allah), tidak ada malang pada burung hantu dan tidak ada bala pada bulan Safar (seperti yang dipercayai)". Amalan khurafat juga berkait rapat dengan perkara-perkara ghaib setiap kepercayaan dan juga perlakuan yang diikuti dengan perkara ghaib. Mempercayai perkara ghaib adalah salah satu perkara yang termasuk dalam iman. Namun demikian, amalan khurafat ini mengalir antara pergantungan manusia kepada Allah s.a.w kepada makhluk yang mana menjadi salah satu bentuk penyelewengan dalam akidah Islam.


Khurafat terbahagi kepada dua iaitu khurafat yang tidak merosakkan akidah seperti dongeng berkaitan dengan budaya dan adat resam atau tidak berkaitan dengan ketuhanan. Manakala khurafat yang merosakkan akidah iaitu melibatkan ibadat dan ketuhanan seperti pemujaan, penyembahan dan membuang ancak.

PUNCA TERJADINYA AMALAN KHURAFAT

Kejahilan
Ini adalah faktor utama yang mendorong manusia sanggup melakukan amalan-amalan khurafat dan syirik. Sebab itulah Islam amat menitik beratkan agar umatnya sentiasa meningkatkan keupayaan diri dengan menuntut ilmu. Menuntut ilmu adalah suatu kewajipan atas setiap individu muslim.

Kepentingan peribadi
Bagi mendapatkan sesuatu kepentingan duniawi, manusia sanggup melakukan apa saja walaupun terpaksa menggadaikan aqidah dan agamanya dan terlibat dengan gejala mungkar.

Niat yang jahat
Sesungguhnya di antara hikmah syurga dan neraka ialah adanya manusia yang baik dan jahat yang setiap hari sentiasa memikirkan bagaimana dia ingin merealisasikan niat dan amalannya.

Pergaulan
Faktor ini juga sering menjadi sumbangan penting ke arah terjebaknya seseorang dengan amalan khurafat, seperti ikut kawan meneka nombor ekor dan mengamalkan ajaran "Black Metal".

Keadaan sekeliling
Suasana masyarakat yang tidak mematuhi undang-undang agama juga menjadi factor berleluasanya ajaran Khurafat. Oleh itu faktor ini penting untuk diberikan perhatian serius oleh masyarakat Muslim atau mana-mana organisasi agama agar tidak wujud keadaan sekeliling masyarakat yang mendorong ke arah berlakunya ajaran khurafat seperti di zaman jahiliyyah.

Adat kebiasaan
Faktor ini dikenal pasti sebagai penyumbang utama ke arah berterusannya amalan khurafat dalam kehidupan manusia. Dengan slogan “Biar mati anak jangan mati adat”, anggota masyarakat begitu bersemangat mengadakan amalan khurafat secara berterusan, umpamanya mengadakan upacara menyembah atau menjamu hantu, hulubalang dan semangat roh.

Kepercayaan Karut
Sebelum kedatangan Islam masyarakat kita telah lama menganuti ajaran Hindu dengan kepelbagaian fahaman dan upacara yang karut-marut. Apabila Islam datang menghapus sedikit demi sedikit amalan tersebut.

Pengaruh politik

Untuk mendapatkan kuasa dan kedudukan duniawi yang sementara, manusia sanggup untuk terlibat dengan khurafat, seperti mendapatkan bantuan bomoh-bomoh upahan atau bomoh VIP sebagaimana yang banyak terbentang di dada akhbar. Begitu juga mereka yang terlibat dengan ajaran-ajaran khurafat dan ajaran sesat telah menyelamatkan diri melalui saluran politik (kes ajaran Taslim dan kes ayah Pin di Terengganu).
AKIBAT MELAKUKAN PERBUATAN KHURAFAT TERHADAP DIRI, KELUARGA DAN MASYARAKAT

Minda terkongkong
Apabila seseorang itu telah terjebat dan mengikuti ajaran khurafat akan menyebabkan minda seseorang itu terkongkong malah tercetusnya perbuatan dan kelakuan yang tidak rasional kerana sifat taksub mereka terhadap sesuatu perkara.

Lupa tanggungjawab terhadap keluarga
Mengikuti ajaran khurafat juga boleh menyebabkan seseorang itu lupa tanggungjawabnya terhadap keluarga kerana mempunyai sifat taksub yang melampau dalam beragama. Keluarga tidak terurus dengan sempurna sepertimana yang diamanahkan oleh Allah SWT dan keadaan ini juga boleh menyebabkan berlakunya keruntuhan institusi kekeluargaan itu sendiri.

Perpaduan tergugat
Perpaduan di dalam masyarakat juga akan tergugat ekoran ajaran khurafat ini. Hal ini boleh terjadi kerana berlakunya keganasan dan tindas menindas sesama sendiri.

Bagi menjamin diri dan keluarga untuk tidak terbabit dengan ajaran khurafat, umat Islam jangan jemu mempelajari ilmu berkaitan Islam, kerana mereka yang berilmu tidak akan terjebak dengan amalan khurafat.
ISU DAN PERBINCANGAN

Filem “Hantu Bonceng”. Cerita mengisahkan Amran seorang budak Delivery yang gemar berlumba secara haram motor Drag. Satu hari selepas memenagi satu perlumbaan, Amran telah di hadiahkan seorang Bohsia bernama Maya sebagai habuan perlumbaan. Malang tidak berbau, di ketika Amran hendak membawa bohsia yang memboncengnya itu keluar dari port, mereka telah kemalangan dan Bohsia tersebut mati ditempat kejadian.

Sejak kejadian itu Amran sering diganggu dengan hantu Maya yang meminta Amran sempurnakan mayatnya. Amran cuba mendapat bantuan kawan karib nya Kunyit untuk membantunya menjejak keluarga Maya yang sehingga kini masih menjadi misteri setelah Halimaton kekasih Amran seorang jururawat enggan membantu Amran sebab marahkan atas kecurangan Amran terhadapnya.

Berbagai cara Amran lakukan untuk menyelesaikan gangguan daripada Maya itu. Dari berjumpa bomoh hinggalah ke seorang ustaz. Tanpa Amran sedari dia mula berubah menjadi seorang yang lebih baik dan mula menginsafi atas kelakuan buruknya sebelum ini. Halimaton mula menerima semula Amran setelah melihat perubahan positif padanya. Tapi tanpa diduga Ayu muncul dalam hidup Amran.

Filem ini telah didakwa menghina Islam dengan suatu babak yang mana Zizan dianggap menghina Rasulallah S.A.W dengan menyebut “Ashaduanna Muhammadar ... syaitan” yang membawa maksud “Aku naik saksi bahawa Muhammad itu ... syaitan”. Oleh yang demikian Ustaz Azhar Idrus turut memintanya bertaubat kepada Allah,berhubung isu azan, memakai baju yang mempunyai palang salib ke masjid dan beberapa isu tahyul seperti bogel depan hantu.

Filem “Nasi Tangas” (Nasi Kangkang) ini mengisahkan tentang pasangan suami isteri Hairi lakonan Azwan Kombos dan Mira (Adibah Yunus) berantakan apabila Hairi terlalu akrab dengan kawan baiknya Fatin (Shima Anuar) sehingga menimbulkan rasa cemburu Mira.

Mira menggunakan jalan pintas untuk merampas semula cinta Hairi menggunakan cara amalan ilmu hitam dengan melakukan nasi kangkang agar Hairi mengikut segala arahannya.




Pengarah filem Nasi Tangas (Nasi Kangkang), Hashim Rejab mendedahkan mantera yang digunakan dalam filem tersebut merupakan mantera sebenar untuk amalan khurafat pembuatan nasi kangkang. Hashim berkata, mantera tersebut diperoleh daripada kajiannya terhadap beberapa orang lama yang tahu tentang amalan tersebut.

"Saya guna mantera Jawa yang sebenar yang diperolehi daripada beberapa kajian terhadap orang tua-tua dulu yang tahu tentang pembuatan syirik ini.

"Bagaimanapun elemen-lemen lain yang sebenar saya tidak tunjukkan bagi mengelakkan ia ditiru oleh penonton, hanya beberapa perkara asas sahaja yang ditunjukkan,"



Pihak Lembaga Penapisan Filem Malaysia (LPFM) terpaksa memotong beberapa babak dalam filem ini kerana LPFM menganggap perkara tersebut boleh mengganggu dan merosakkan ketenteraman awam.
CARA MENANGANI PERBUATAN / AKTIVITI KHURAFAT DIKALANGAN MASYARAKAT ISLAM


1) PERANAN KERAJAAN

Kerajaan perlulah mengadakan kempen-kempen kesedaran bahananya amalan khurafat terhadap diri, masyarakat, agama dan negara. Selain itu, juga perlulah meletakkan topik " AMALAN KHURAFAT DAN SYIRIK " dalam buku-buku agama yang diterbitkan untuk proses pembelajaran supaya anak-anak muda sedar dan menjauhi amalan khurafat.


2) PERANAN MASYARAKAT


Masyarakat Melayu memang terkenal dengan adat-adat resam dan kepercayaan yang menjadi warisan sepanjang zaman. Namun, kita perlu tahu ada antara adat-adat dan kepercayaan tersebut adalah perbuatan khurafat dan syirik. Kita mestilah menjauhi dan sekaligus menghapuskan adat-adat yang boleh menyebabkan kita menjadi seorang yang musyrik.

3) PERANAN DIRI SENDIRI

Memandangkan dunia kini semakin moden, alat elektronik memberikan pengaruh yang besar terhadap semua golongan manusia. Jadi seseorang muslim perlu pandai mengawal dan bukan teknologi yang mengawal kita. Kita perlu pandai menggunakan teknologi dengan betul supaya Allah tidak murka kepada kita.  
KESIMPULAN

Oleh itu, amalan khurafat sangat dilarang dalam islam. Melalui kajian ini dapat dilihat dengan jelas bahawa terdapat banyak filem-filem yang ditayangkan mengandungi unsur khurafat yang semakin berleluasa di negara kita. Hal ini jelas menggambarkan rakyat Malaysia kini mudah terpengaruh dengan filem-filem yang ditayangkan. Oleh yang demikian ,terdapat beberapa pengajaran yang boleh diperolehi melalui kajian ini. Sebagai umat islam, seharusnya kita perlulah lebih berwaspada dan tidak mudah percaya dengan setiap filem yang ditayangkan dalam filem “Nasi Tangas”. Babak dimana Mira terlihat ibunya, Mak Ton sedang melakukan sesuatu. Mak Ton dapat mengagak apa yang Mira rasa (Mira ingin mendapatkan kembali suaminya) dan membawa Mira berjumpa dengan "Embah Senu" bagi mendapatkan ilmu Nasi Tangas (Nasi Kangkang). Kita seharusnya bertawakal dan hanya bergantung kepada Allah setelah berusaha bersungguh-sungguh untuk mendapatkan sesuatu perkara bukannya mempercayai perkara karut-marut seperti yang ditunjukkan dalam filem. Contohnya filem “Hantu Bonceng” dimana watak dalam filem lebih percaya kepada bomoh berbanding Allah. Zizan Razak telah berjumpa dengan seorang bomoh untuk meminta bantuan supaya hantu yang mengikuti Zizan dapat dihalau daripada dirinya. Kita seharusnya mengelakkan dan menjauhkan diri kita daripada percaya perkara kepada bomoh yang dianggap mampu memberi apa sahaja berbanding dengan  Allah.

Di samping itu, kerajaan perlulah mengambil tahu akan perkara disekeliling mereka terutama dalam masalah khurafat yang semakin berleluasa seperti yang terkandung dalam filem-filen di Malaysia. Kerajaan perlu lebih tegas dalam menangani dan membanteras masalah ini dengan menghadkan lagi filem-filem yang berunsurkan khurafat yang berlebihan dan memperbanyakkan lagi filem berunsurkan kerohanian. Firman Allah dalan surah Yunus ayat 106, “Dan janganlah engkau menyembah atau memuja yang lain daripada Allah, yang tidak dapat mendatangkan manfaat kepadamu dan juga tidak dapat mendatangkan mudharat kepadamu. Sekiranya engkau mengerjakan yang demikian maka jadilah engkau orang-orang yang berlaku zalim”. Maka dengan itu kerajaan perlulah menapis terlebih dahulu setiap filem yang diterbitkan sebelum ditayangkan kepada orang ramai.

Akhir sekali, sebagai seorang muslim yang sejati janganlah kita mudah terpengaruh dengan filem yang ditayangkan dan lebih memperbanyakkan ibadat kepada Allah. Elakkan diri daripada tempat-tempat yang sering menjalani aktiviti khurafat seperti kawasan perkuburan,hutan dan sebagainya. Justeru itu, menjadi tanggungjawab kita bersama dalam mengatasi masalah ini. Hiburan sememangnya tidak salah dalam Islam tetapi janganlah kita melanggar batas yang telah ditetapkan syariat. Penggiat seni perfileman tanah air perlu berhati-hati dalam menggarap skrip dalam setiap filem mereka agar tidak terpesong dari ajaran Islam. Bagi para penonton pula tidak seharusnya terlalu taksub dengan hantu yang hanya rekaan manusia semata-mata sedangkan kita harus lebih takut kepada azab Allah S.W.T. Ingatlah bahawa Allah S.W.T merupakan pencipta sekalian makhluk.


Contoh Amalan Khurafat Dalam Filem :