PENGENALAN
Maksud
khurafat menurut Kamus Bahasa Arab ialah cerita-cerita yang mempersonakan yang
dicampuradukkan dengan perkara dusta (al Mujam al Wasit). Manakala menurut
Kamus Dewan ialah kepercayaan karut yang diada-adakan mengikut perbuatan-perbuatan dan kejadian alam yang berlaku. Pengertian khurafat dari
segi Islam ialah semua cerita sama ada rekaan, khayalan, ajaran, pantang
larang, adat istiadat, ramalan, pemujaan atau kepercayaan yang menyimpang daripada ajaran Islam. Berdasarkan takrif di atas, khurafat merangkumi cerita atau
perbuatan yang direka dan bersifat karut serta dusta.
Secara
mendalam lagi, amalan khurafat melibatkan perbuatan, ungkapan kata, cerita, benda seperti batu, kayu atau tanah, prinsip atau fahaman
yang dipercayai dengan yakin boleh mendatangkan manfaat
ataupun mudarat kepada seseorang. Padahal semua itu merupakan sesuatu yang
tidak sesekali terdapat dalam sumber dan suruhan agama Islam. Dalam
masa yang sama ia juga bertentangan dengan logik akal kerana ia merupakan sesuatu yang batil dan tidak langsung
mengandungi sebarang unsur kebenaran.
Dari
Abu Hurairah r.a. Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud, ''Tidak ada
jangkitan (yang berlaku tanpa izin Allah), tidak ada malang pada burung hantu
dan tidak ada bala pada bulan Safar (seperti yang dipercayai)". Amalan
khurafat juga berkait rapat dengan perkara-perkara ghaib setiap kepercayaan dan juga perlakuan yang diikuti dengan perkara ghaib. Mempercayai perkara ghaib adalah
salah satu perkara yang termasuk dalam iman. Namun demikian, amalan khurafat
ini mengalir antara pergantungan manusia kepada Allah s.a.w kepada makhluk yang
mana menjadi salah satu bentuk penyelewengan dalam akidah Islam.
Khurafat
terbahagi kepada dua iaitu khurafat yang tidak merosakkan akidah seperti
dongeng berkaitan dengan budaya dan adat resam atau tidak berkaitan dengan
ketuhanan. Manakala khurafat yang merosakkan akidah iaitu melibatkan ibadat dan
ketuhanan seperti pemujaan, penyembahan dan membuang ancak.
No comments:
Post a Comment